Rabu, 22 Jun 2011

Undang-undang Haram Penjualan Telur Penyu Perlu Dikuat Kuasa Segera

View Image

Kerajaan diminta menguatkuasakan segera undang-undang mengharamkan penjualan telur penyu di seluruh negara bagi memastikan spesis itu tidak pupus.

Ketua Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Jabatan Perikanan Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata undang-undang itu sudah diterima pakai di seluruh negara, bagaimanapun, masih ada yang tidak menguatkuasakannya.

Beliau berkata sesiapa yang mengutip dan menjual telur penyu tanpa lesen boleh didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur-Telur Penyu) 1989.

"Perlaksanaan undang-undang itu perlu diseragamkan di seluruh negara," katanya kepada pemberita pada Program Kenangan Semalam di Pulau Upeh dekat sini, anjuran Jabatan Perikanan Melaka Isnin malam.

Syed Abdullah berkata penyeragaman itu perlu bagi memastikan aktiviti pengambilan dan penjualan telur penyu secara terbuka mampu dikawal, sekaligus mengelak haiwan tersebut daripada terus terancam.

Selain itu, beliau berkata tahap kesedaran masyarakat berhubung perkara itu perlu ditingkatkan melalui kempen dan pendidikan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Melaka Rosmawati Ghazali berkata Pulau Upeh kini lokasi terpenting bagi pendaratan Penyu Karah bukan hanya bagi negara ini, malah di Asia Tenggara.

Beliau berkata selain Pulau Upeh, pantai di Kem Terendak, Tanjung Bidara, Padang Kemunting, Tanjung Dahan dan Tanjung Serai turut menjadi lokasi pendaratan penyu.

Katanya, Jabatan Perikanan Melaka membelanjakan antara RM60,000 dan RM70,000 setahun untuk membeli telur penyu daripada 20 pemungut berlesen, yang terdiri daripada nelayan, di 17 lokasi pendaratan Penyu Karah di negeri itu.

Dalam Program Kenangan Semalam di Pulau Upeh, seekor Penyu Karah berusia 20 tahun berukuran 77 sentimeter panjang dan 68 sentimeter lebar, mendarat dan bertelur di kawasan itu pada kira-kira 11.20 malam.

Ia turut menyaksikan sejumlah 200 ekor anak Penyu Karah dilepaskan ke laut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...