Sabtu, 23 April 2011

Majlis Fatwa Kebangsaan tak halang poco-poco

SEPANG 22 April - Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu masyarakat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan badan itu sejak 2007 yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.

Jumaat, 22 April 2011

Bandar di Terengganu disusun semula


Kerajaan negeri akan membuat penyusunan semula semua bandar-bandar di negeri ini secara berperingkat dengan menetapkan 80 peratus Bumiputera akan memiliki atau menyewa lot-lot perniagaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, tidak boleh dielakkan bila ada pembangunan baru yang akan dilaksanakan , tentu membabitkan pengambilan balik tanah mengikut nilai harga semasa.

Khamis, 21 April 2011

Kg Medan Jaya tempat ketiga juara kebersihan dan keceriaan


Kampung (Kg) Bukit Wan, Kuala Terengganu muncul johan bagi kategori Kampung Luar Kawasan Operasi dalam Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2010.

Kemenangan itu membolehkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) itu menerima RM100,000 bagi menjalankan projek dan wang tunai RM10,000. Malah, kerajaan negeri juga bakal menghantar JKKK kampung itu melawat Australia tahun depan.

Terengganu paling banyak salah guna jenama `homestay’


Pengusaha pelancongan di Terengganu dikesan paling banyak menyalahgunakan jenama perkhidmatan `guest house’ atau rumah tumpangan kepada `homestay’ (inap desa), sedangkan mereka tidak mengamalkan cara dan amalan sebenar perkhidmatan yang sepatutnya sebagai sebuah inap desa.

Hormati kerajaan yang memerintah - MB

Semua penjawat awam diingatkan supaya menghormati kerajaan yang memerintah dan tidak melakukan sabotaj terhadap sebarang projek atau program yang dilaksanakan untuk pembangunan masyarakat tempatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, selaku pekerja dalam pasukan kerajaan yang sentiasa memberi bantuan serta mempermudahkan segala urusan berkait dengan rakyat, mereka perlu jujur ketika menjalankan tugas masing-masing.


“Kalau rasa kerajaan yang memerintah ini (Barisan Nasional) tidak baik, sekular, lebih baik berhenti saja dan cari kerja lain yang sealiran dengan fahaman mereka,” katanya pada majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Daerah Besut, di Dewan Majlis Daerah Gong Kemutong, Besut petang semalam.

MB kesal sikap sambil lewa kontraktor

Sikap sambil lewa segelintir kontraktor di negeri ini yang melengah-lengahkan kerja pembinaan, terutama membabitkan projek pembangunan kerajaan dan rakyat amat dikesali.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mereka yang ingin berjaya perlu mengikis sikap negatif itu supaya mereka tidak terus dibelenggu masalah hutang, tekanan serta mengelak daripada dikenakan penalti dan ditamatkan kontrak.
Beliau berkata, apa yang penting, setiap kontraktor perlu bijak merancang sumber kewangan dan bersikap jujur dalam setiap projek yang berjaya diperolehi.

Menurut beliau, tindakan menamatkan kontrak pembinaan atau projek boleh dielak sekiranya kontraktor dilantik bijak merancang jadual dan sumber kewangan.

Rabu, 20 April 2011

Bilangan kes jenayah juvana semakin membimbangkan


PUTRAJAYA - Bilangan kes jenayah melibatkan pelajar atau lebih dikenali sebagai pesalah juvana semakin membimbangkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud. 

Beliau berkata, ia berdasarkan laporan dikemukakan Cawangan Dasar/Pencegahan Jenayah, Bahagian Hal Ehwal Awam, Bukit Aman, di mana pesalah juvana kini cenderung melibatkan diri dalam pelbagai salah laku sosial dan jenayah berat. 

“Kebimbangan ini jika tidak ditangani segera akan menambahkan bebanan pihak kementerian dalam menangani masalah sosial termasuk penyalahgunaan najis dadah, ponteng sekolah, gejala buli, pil khayal, peras ugut, kumpulan haram, menonton video lucah dan pelbagai kegiatan berhubung kait jenayah,” katanya. 

Selasa, 19 April 2011

Rakyat Didahulukan , Pencapaian Diutamakan

Isu pengundi bandar (Cina) menolak calon SUPP masih hangat diperkatakan. Mereka sebenarnya terpengaruh dengan DAP  chauvinist parti yang menjanjikan bulan dan bintang kepada mereka.

Pengundi bandar mungkin sudah lupa akan kesusahan masa dahulu dan setelah mendapat segala-galanya mereka bersifat kacang lupakan kulit atau seperti peribahasa Melayu Bunga dipetik, perdu ditendang.

Keghairahan untuk menukar kerajaan sepertimana yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor menjadi impian kepada pengundi bandar.

Keinginan mereka hampir menjadi kenyataan dengan sokongan dan bantuan PAS dan juga PKR. Bagi mendapatkan sokongan dan kejayaan Dap sanggup menjadi hamba kepada Pas dan Pkr asalkan hasrat mereka tercapai, hatta menjual anak sendiri pun mereka sanggup asalkan cita-cita mereka berjaya.

Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011

Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011 menjadi antara aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri yang dijangka mampu menarik penyertaan pelawat tempatan dan luar negeri ke Terengganu.

Program anjuran akhbar Harian Metro dengan kerjasama Kerajaan Terengganu bakal dijalankan di Pulau Warisan dan Ri-Yaz Heritage Maria Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, selama tiga hari bermula 29 April depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata karnival yang julung kali dilaksanakan itu menjadi medan bagi mempromosikan negeri ini serta membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat untuk menambah pendapatan.

Isnin, 18 April 2011

Majlis Perjumpaan Jentera Wanita UMNO DUN Rhu Rendang


MARANG 17 APR 2011 - Majlis perjumpaan bersama Jentera Wanita UMNO DUN Rhu Rendang, Marang, Terengganu telah diadakan di Marang Village Resort & SPA, Marang, Terengganu.  Majlis telah disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku.

Ahad, 17 April 2011

Majlis Perasmian Penutupan Dan Penyampaian Hadiah Sukaneka/Kebersihan Kg. Medan Jaya


MEDAN JAYA  16 APR 2011 - Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah sukaneka dan kebersihan serta kecerian halaman rumah dalam kawasan JKKK Kampung Medan Jaya / Medan Jaya 1 telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Rhu Rendang, Marang, Terengganu, YBhg. Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku.  Majlis telah diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Medan Jaya, Marang Terengganu.

Program telah diadakan selama 3 hari bermula  pada 14 - 16 APR 2001, yang disertai oleh semua gulongan masyarakat dikawasan tersebut.  Jabatan Kesihatan Daerah Marang juga turut menyumbang bagi menjayakan program tersebut dengan mengadakan ceramah kesihatan/pameran selain menyumbang hadiah-hadiah berbentuk hamper kepada pemenang-pemenang yang menyertai quiz yang diadakan.

Rakyat Sarawak Kekalkan Mandat Kepada BN Untuk Terus Memerintah


KUCHING, 17 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mendapat mandat untuk terus memerintah Sarawak selepas mencatatkan kemenangan dengan memperoleh majoriti lebih dua pertiga dalam pertandingan yang paling sengit dalam sejarah negeri ini.

BN memenangi pilihan raya negeri ke-10 dengan memperoleh 55 daripada 71 kerusi, kurang tujuh kerusi daripada yang dimenangi gagasan pemerintah pada 2006, namun telah meleburkan harapan pembangkang yang berjuang habis-habisan untuk menafikan kemenangan majoriti dua kepada BN, malah mengimpikan untuk membentuk sebuah kerajaan baru.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...