Sabtu, 25 Jun 2011

Agong Bimbang Umat Islam Hadapi Krisis Perpecahan


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, melahirkan kebimbangan melihat umat Islam menghadapi krisis perpecahan yang begitu ketara ketika ini.

Seri Paduka bertitah, keadaan ini tidak wajar dibiarkan berterusan.

"Usaha perlu dibuat dan dipertingkatkan bagi mengembalikan semula perpaduan sesama Islam supaya tiada pihak berpeluang menangguk di air keruh dan menghancurkan perpaduan umat Islam," titah Tuanku Mizan pada majlis perasmian Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami di Pulau Pinang, semalam.
Seri Paduka bertitah umat Islam perlu menghindari perbuatan yang boleh mencetuskan perpecahan dengan mengamalkan budaya mazmumah.

Tuanku Mizan menyeru umat Islam untuk hidup bersatu padu di bawah satu aqidah dan agama dengan tidak mengutamakan kepentingan diri atau kelompok sendiri.

"Umat Islam perlu mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku di negara Islam lain yang bertelagah sesama sendiri sehingga mengakibatkan rakyatnya menderita, negara tidak stabil kerana pertelingkahan yang berpanjangan.

"Kita perlu mengambil pengajaran supaya perkara yang sama dapat dibendung daripada berlaku di negara ini," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan menitahkan supaya semua institusi masjid dan pendidikan terus dipelihara dan diperkukuhkan sebagai satu pusat dakwah dan tempat membina perpaduan bagi menghadapi cabaran semasa yang melanda umat Islam.

Seri Paduka turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan kerajaan negeri kerana berjaya membina Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami yang dapat melahirkan generasi penyambung perjuangan generasi silam yang berjaya meletakkan umat Islam ke tahap yang ada pada hari ini.

"Semangat kerjasama, muafakat dan toleransi sebeginilah yang mesti diamalkan oleh kita semua dalam usaha memajukan umat Islam," titah Seri Paduka.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...