Rabu, 22 Jun 2011

Tun Dr Mahathir Terima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup

View Image

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meneruma 'Anugerah Pencapaian Seumur Hidup' pada Majlis Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur 2011 di sini Selasa malam.

Anugerah itu disampaikan kepada beliau oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dr Mahathir menerima trofi khas rekaan pasukan kreatif Mouawad di Paris, yang diperbuat daripada beberapa komponen dari pelbagai negara di seluruh dunia.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata meskipun amat berbesar hati dengan anugerah itu, namun secara berjenaka berpendapat ia diberikan terlalu awal memandangkan beliau masih aktif menjalani kehidupan.

Mengenai Kuala Lumpur, beliau berkata bandaraya ini pesat berkembang dengan banyak perniagaan dan seni taman indah sejak ia diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan.

"Kuala Lumpur, kini dicantikkan dengan seni taman yang indah, bukan hanya dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, malah pihak swasta dan pemilik tanah.

"Saya amat gembira melihat keadaan jalan raya di sini yang dijaga dengan baik, begitu juga dengan seni tamannya," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dalam ucapannya berkata, anugerah tersebut diwujudkan bagi mengiktiraf serta memberi ganjaran kepada badan dan individu yang berjaya menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi menarik kepada pelancong.

"Ada tiga jenis anugerah yang diberikan tahun ini, iaitu Anugerah Pencapaian Cemerlang, Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Pengiktirafan Datuk Bandar," katanya.

Selain Dr Mahathir, turut diiktiraf ialah pelbagai perkhidmatan pelancongan seperti penginapan, restoran, tarikan pelancongan, pusat beli belah, pengusaha pelancongan dan media cetak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...