Selasa, 2 Ogos 2011

Bakal Pengantin Dinasihati Berwaspada Terhadap Pakej Pengantin Meragukan

Wooo...Busana Pengantin Yulia Rachman & Demian..Elegan

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan dinasihati agar berwaspada terhadap tawaran yang 'terlalu indah untuk dipercayai' ketika membeli pakej pengantin, terutamanya daripada syarikat pengantin di luar negara.


Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Michael Chong berkata pasangan berkenaan perlu memastikan bahawa syarikat pengantin mempunyai latar belakang yang kukuh dan bagi firma asing, mereka seharusnya mempunyai ibu pejabat di negara asal selain cawangan kedai pengantin di Malaysia.



Beliau berkata syarikat pengantin yang meragukan lazimnya menawarkan pakej pada harga yang sama dengan pakej pengantin sebenar, tetapi diiringi tawaran tambahan seperti kediaman mewah semasa berbulan madu.


"Syarikat seperti ini biasanya mengutip deposit kira-kira RM2,000 bagi pakej itu sebelum pulang ke negara asal mereka," katanya pada sidang akhbar bersama Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menjelang Pameran Matta 2011, di sini pada Selasa.


Chong berkata lebih 60 orang dari beberapa tempat di negara ini mengemukakan aduan kepada biro itu tahun lepas setelah menjadi mangsa penipuan itu membabitkan transaksi lebih RM100,000.


"Tahun ini, hanya sepasang bakal pengantin sahaja yang berjumpa dengan kami setakat ini tetapi saya benar-benar bimbang kerana sebelum hujung tahun ini, lebih banyak pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga. Jadi, sentiasalah bersikap berhati-hati dan rakamkan gambar wakil syarikat yang mengambil wang daripada anda," kata Chong.


Bagaimanapun, beliau berkata beberapa syarikat pengantin dari luar negara yang beroperasi di Malaysia adalah tulen dengan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, dan menawarkan produk serta perkhidmatan yang hebat.


Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah pengerusi jawatankuasa penganjur Pameran Matta 2011 John Tan dan timbalannya, Boris Chang.


Tan berkata Matta hanya membenarkan penyedia perkhidmatan perkahwinan yang tulen untuk mengambil bahagian dalam pameran berkenaan.


Beliau memberi amaran bahawa peserta yang didapati menyewakan semula ruang pameran mereka kepada pihak lain berdepan kemungkinan ruang pameran mereka ditutup.


Lebih 40 ruang pameran yang menawarkan pakej pengantin akan mengambil bahagian dalam pameran itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini dari 12 hingga 14 Ogos.


Pameran itu akan menawarkan 929 ruang pameran dengan penganjur menjangkakan 90,000 pengunjung dan keuntungan jualan RM100 juta.


Antara peserta pameran termasuk Kementerian Kebudayaan dan Pariwisata Indonesia dan Taiwan Visitors Association, masing-masing menempah sehingga 20 ruang pada pameran itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...