Jumaat, 27 Mei 2011

Utamakan Rakyat, Ketepikan Agenda Bahagian

KUALA LUMPUR,  27 Mei – Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan semua pemimpin bahagian bahawa mereka mesti utamakan rakyat kerana UMNO wujud berlandaskan strukturnya yang telah dibina selama ini berteraskan kumpulan sasar untuk meyakinkan rakyat.

Katanya, ukuran mutlak dalam sistem demokrasi berparlimen adalah memenangi pilihan raya dan untuk membentuk kerajaan.
 
“Bilangan ahli, bilangan bahagian dan bilangan cawangan tak membawa apa-apa erti melainkan kalau kita berjaya mewujudkan kerajaan dengan memenangi pilihan raya. Keutamaan kena diberikan kepada rakyat dan bukan soal dalaman parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, hari ini.

Katanya, MT mengambil maklum tentang perjalanan mesyuarat bahagian yang sedang berlangsug dengan melaporkan sehingga 25 Mei lalu 90 bahagian telah selesai melaksanakan mesyuarat sementara 134 melibatkan Perwakilan Pergerakan Wanita Bahagian, 135 untuk Perwakilan Pergerakan Pemuda Bahagian dan 152 Bahagian bagi Perwakilan Pergerakan Puteri.

“Semua tak ada masalah dan mesyuarat bahagian berjalan dengan licin dan baik dengan pemantauan dilaksanakan oleh jawatankuasa pengurusan. Hasilnya seperti biasa akan dibincang dalam usul-usul dan dengar pendapat dari ahli-ahli untuk dibawa ke dalam Perhimpunan Agung pada tahun ini.”

Beliau juga turut memaklumkan bahawa MT bersetuju terhadap rayuan pembebasan keahlian UMNO kepada Hajah Salmah Haji Pin, ahli Bahagian Bandar Tun Razak; Zalina Ismail dan Haji Saadun Basirun dari bahagian Bukit Katil, Melaka.

“MT juga turut bersetuju melantik Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan UMNO Majlis Tertinggi bagi penggal 2011-2013.”

Menjawab soalan, beliau menjelaskan bahawa stimulasi pilihan raya akan dibuat mengikut jadual pada pertengahan tahun ini.

“Persediaan berterusan tetap dilakukan, jadi kita akan tingkatkan melalui usaha kita ke arah pilihan raya umum ke-13 nanti,” ujarnya.

Najib turut menafikan pendapat yang mengatakan bahawa pemimpin tertinggi UMNO hanya turun padang semasa mesyuarat bahagian berlangsung.

“Sepanjang masa kita turun termasuk saya dan Timbalan Presiden, naib-naib Presiden dan anggota parti kita termasuk juga ketua sayap, ketua penerangan dan sebagainya. MT juga diberi tugas untuk memantau lima bahagian masing-masing dan dibuat dalam bentuk lain,” katanya.

Berkaitan tekanan DAP yang dilaporkan akan melakukan pembubaran Dewan Undangan Negeri berlainan sekiranya pilihan raya umum tidak dilaksanakan pada tahun ini beliau menjelaskan bahawa BN tidak akan campurtangan.

“Kita tak boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat dinegeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang sebab jika mengikut Perlembagaan mereka boleh memberi nasihat pada Raja, Tuanku atau Gabenor yang berkenaan untuk membubar atau tidak membubar negeri berkenaan. Raja juga ada kuasa untuk menolak permohonan tetapi tidak ada kuasa untuk membubar. Itu kedudukan dari segi Perlembagaan.

“Jadi jika kita tidak boleh tentukan apa yang mereka akan buat tetapi kita boleh tentukan apa yang kita boleh buat. Saya tidak risau apa yang dia akan buat tapi saya akan beri pandangan yang berat pada apa yang saya boleh buat,” tegasnya. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...