Isnin, 23 Mei 2011

Ketua Hakim Negara Kritikal

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dipercayai berada dalam keadaan kritikal setelah mengalami tekanan darah rendah dan komplikasi jantung.
Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Tinjauan mStar Online mendapati ahli keluarga Tun Zaki masih menunggu di luar bilik CCU.
Menurut Pegawai Khas beliau, Mohd Aizuddin Zolkeply, Tun Zaki mengalami serangan jantung sebanyak dua kali pagi tadi termasuk semasa berada di Wad ED, Hospital Putrajaya pagi Isnin.
Beliau dikatakan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba di rumah dan kali kedua ketika berada di Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.
"Saya mendapat panggilan telefon daripada pengawal peribadi beliau (Tun Zaki) yang mengesahkan beliau kini berada dalam kritikal.
"Isteri beliau turut berada di sisinya kini," kata sumber itu kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.
Bagaimanapun, Mohd Aizuddin enggan mengulas lanjut mengenai keadaan Tun Zaki sebaliknya memberitahu pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.
Zaki, 64, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober 2008 dan beliau merupakan pengerusi pertama bagi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sejak penubuhannya pada 16 Februari 2009.
Beliau dilahirkan pada 12 September 1945 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Sekolah Anderson, Ipoh dan English College, Johor Baharu.
Pada 1969, beliau telah melanjutkan pengajian di Lincoln's Inn, London dan dianugerahkan Barrister-at-Law.
Beliau merupakan anak bekas Ketua Hakim Negara (1966-1974), Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed.
Beliau berkahwin dengan Puan Sri Nik Sazlina Mohd Zain dan mempunyai 4 anak iaitu Dzofrain Azmi, Razif Azmi, Azri Azmi dan Azfar Azmi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...