Rabu, 25 Mei 2011

Saintis, ahli akademik serata dunia berkampung di TATiUC


Seramai 262 saintis, jurutera dan ahli akademik dari 16 negara seluruh dunia berkampung di Kolej Universiti Tati, Kemaman bagi membentangkan hasil kajian terkini dalam bidang kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Pembuatan dan kejuruteraan Kimia sempena Persidangan Antarabangsa Sistem Automasi dan Robotik (ICORAS), Inovasi Kimia (ICCI) & Teknologi Pembuatan (ICAM).
 
Persidangan julung kali anjuran TATiUC dengan kerjasama Universiti MIE, Jepun, Universiti Queens’s, Belfast, Ireland dan Institut Pertanian Bogor, Indonesia menjadi platform untuk peserta berkongsi hasil kajian daripada institusi masing-masing.

Pengarah Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Abd Aziz Tajuddin, berkata persidangan itu juga selari dengan perkembangan aktiviti penyelidikan serta persidangan universiti yang semakin rancak dengan pertambahan tenaga akademik serta peningkatan program baru.

Katanya, penganjuran persidangan dua hari itu penting kepada TATiUC bagi mengenengahkan institusi pendidikan itu yang kini semakin aktif dalam bidang penyelidikan di mata dunia walaupun baru dua tahun mendapat pengiktirafan sebagai universiti kolej.

“ Ia bertepatan dengan peranan sebagai sebuah universiti dan dalam jangka masa yang pendek, dapat mengumpul para saintis seluruh dunia melibatkan 16 negara termasuk Jepun, Northen Ireland, India, Iran, Iraq, Itali dan United Kingdom.

“Pada masa yang sama, turut melibatkan semua universiti penyelidikan seluruh Malaysia seperti USM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia. Malah, universiti swasta, Institusi Pengajian Tinggi serta universiti kolej yang terlibat dalam penyelidikan juga menyertai persidangan kali ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa TATiUC 2011, di ITC-TATiUC, Teluk Kalong, Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Rektor Hal Ehwal Korporat TATiUC, Haji Zulkifli Mohamad dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim.

Prof Dr Aziz berkata, sambutan baik yang diberikan di kalangan peserta membuktikan semua universiti bukan sahaja memberi tumpuan kepada mengajar, malah turut mengambil penekanan terhadap aspek penyelidikan selaras dengan kehendak kerajaan.
Katanya, hasil pembentangan jabatan penyelidikan masing-masing itu dapat mendedahkan ilmu dan maklumat secara lebih terperinci dan mengorak langkah memajukan penyelidikan yang sudah dihasilkan sebagaimana amalan persidangan yang lalu.
“Selain memantapkan penyelidikan hasil perkongsian ilmu dari semua pembentangan, peserta juga dapat melihat kemajuan inovasi di tempat lain yang mampu memberi impak yang besar bagi mengembangkan lagi ilmu pengetahuan mereka, di mana ia hanya dapat diperolehi daripada persidangan yang menghimpunkan penyelidik tersohor serata negara,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...