Kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 9,399 kes permohonan tanah haram daripada 9,916 permohonan yang diterima atau 94.79 peratus dan baki 517 lagi akan diproses tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said(gambar kanan) berkata, jumlah permohonan berkenaan adalah selepas tarikh tutup pada 31 Desember 2006 dan proses permohonan dibuat mengikut Pejabat Tanah daerah-daerah.
“Kerajaan akan membuat kajian dan penilaian serta bercadang akan membuka semula permohonan baru bagi tanah haram setelah semua kes yang berbaki selesai diproses tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini (6 April).
Katanya, syarat permohonan tanah haram adalah yang diteroka sehingga 1990 serta ada tanaman kekal berusia tidak kurang 15 tahun namun bagi tanaman getah dan kelapa sawit diberi kelonggaran lingkungan tiga tahun ke atas.
Mengikut pecahan daerah katanya, Besut menerima 973 pemohon dan berjaya menyelesaikannya sebanyak 98.97 peratus, Dungun 540 permohonan (89.26 peratus), Hulu Terengganu 2,794 permohonan (92.30 peratus) dan Kemaman 959 permohonan (95.52 peratus).
Manakala Kuala Terengganu menerima 1,167 permohonan ( 96.46 peratus), Marang 504 permohonan (91.27 peratus) dan Setiu 2,979 permohonan (96.44 peratus).
Dato’ Seri Ahmad berkata, pencapaian penyelesaian keseluruhan adalah 94.79 peratus dan ia berada pada tahap yang memuaskan di mana semua daerah menunjukkan komitmen dalam usaha menyelesaikan permohonan orang ramai.
Mengenai permohonan tukaran hak milik sementara kepada hak milik kekal sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 sebanyak 139,227 permohonan diterima melalui pejabat tanah daerah-daerah dan dari jumlah berkenaan 111,490 dapat diselesaikan.
“Masih berbaki 37,737 dan kerajaan berusaha mempercepatkan proses permohonan berkenaan dengan melantik juru ukur swasta serta menawarkan insentif kepada mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan