Kerajaan Terengganu pimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said membelanjakan lebih RM6 bilion bagi membiayai pelbagai program dan projek untuk rakyat Terengganu dalam tempoh tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad berkata, perbelanjaan yang besar ini digunakan kerajaan bagi membela nasib rakyat selaras dengan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri”.
“Kerajaan negeri banyak melaksanakan pembangunan dan projek yang boleh memberi faedah secara terus kepada rakyat,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar pada setiap tahun bagi bidang pelajaran dan kebajikan yang bertujuan khusus untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
Menurutnya, dengan memberi pendidikan kepada golongan miskin, anak-anak mereka akan dapat membantu mengukuhkan eonomi keluarga selepas mereka berjaya dalam pelajaran.
“Manakala bantuan secara terus kepada keluarga miskin seperti peralatan, kursus kemahiran dan modal untuk memperbesarkan perniagaan melalui pelbagai agensi kerajaan akan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Hasilnya, kata beliau, lebih 10,000 keluarga sudah berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin dan mereka kini menikmati taraf hidup yang lebih baik sebelum mendapat bantuan kerajaan.
“Inilah hasil yang jelas daripada dasar “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri” yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan