Khamis, 28 Julai 2011

Terengganu Sedia RM3.3 Juta Imarahkan Masjid Sepanjang Ramadan

View Image

KUALA TERENGGANU, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM3.3 juta bagi program mengimarahkan masjid dan surau di negeri itu sempena bulan Ramadan tahun ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata setiap masjid di negeri itu akan diberikan bantuan sebanyak RM1,000 manakala surau masing-masing memperoleh RM500.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu, beliau berkata kerajaan menyediakan 300,000 bungkusan buah kurma dan air zam zam untuk diagih-agihkan kepada umat Islam di negeri itu.

Beliau berkata tahun ini kerajaan membawa 25 Imam dari Mesir dan Arab Saudi untuk mengimamkan sembahyang tarawih sepanjang bulan Ramadan ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad berkata kelewatan bayaran elaun pentadbiran dan elaun kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) disebabkan pelantikan semula yang memerlukan proses penyelidikan dan kajian.

"Ada sesetengah JKKK yang masih belum selesai buat pelantikan dan juga kita sendiri perlu buat kajian dalam pelbagai aspek. Kalau ada kes melibatkan rasuah, keselamatan, kita kena tangguh dahulu.

"Bagaimanapun tak perlu bimbang kerana kalau lewat, kita akan bayar tunggakan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...