KUALA TERENGGANU, 26 Julai (Bernama) -- Program Dokumentari Syahadah yang diterbitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bakal menginjak musim ketujuh Ramadan ini, mencatat rating lebih sejuta penonton setiap hari.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata jumlah tontonan yang memberangsangkan pada musim lalu itu mendorong siri berkenaan diteruskan.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata jumlah tontonan yang memberangsangkan pada musim lalu itu mendorong siri berkenaan diteruskan.
Katanya dokumentari berbahasa Melayu yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan bahasa Inggeris menerusi saluran TV2 sememangnya mempunyai pengikut tersendiri.
"Pada musim sebelum ini, siaran sebelah petang iaitu sebelum buka puasa mencatat tontonan hampir 600,000 manakala siaran ulangan pada waktu sahur menarik kira-kira 500,000 penonton.
"Ia selaras dengan peranan RTM iaitu memberi maklumat dan pendidikan. Malah dokumentari ini yang dibuat dalam dua bahasa turut dibeli beberapa negara Arab, Brunei dan juga Singapura," katanya pada majlis perasmian program itu di sini, Selasa.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan meneruskan penajaan program dokumentari Syahadah pada musim akan datang.
"Ini adalah kali ketiga Yayasan Terengganu (YT) bekerjasama dengan RTM dalam penerbitan program Syahadah. Kita juga memberi komitmen untuk teruskan penajaan siri ini," katanya kepada pemberita selepas Melancarkan Ihya' Ramadan peringkat negeri Terengganu dan Dokumentari Syahadah di sini, Selasa.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.
Syahadah musim ketujuh memaparkan sejarah awal kedatangan Islam ke setiap negeri, peninggalan manuskrip dan kitab-kitab lama, peranan ulama dan tokoh agama, yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di Malaysia.
Untuk musim kali ini juga, Syahadah turut menjalankan penggambaran kesan-kesan peninggalan kerajaan Andalusia sekaligus membongkar kedatangan Islam, kesannya kepada komuniti setempat dan global di Maghribi dan Sepanyol.
Mula diterbitkan pada tahun 2005, program Syahadah telah menjelajah ke beberapa negara termasuk China, India, Korea, Jepun serta negara bekas jajahan Soviet Union iaitu Uzbekistan, Kazakhstan dan Azerbaijan dengan paparan kehidupan masyarakat Islam di sana di samping pencapaian mereka dalam pelbagai bidang.
Sebanyak 33 episod dokumentari Syahadah selama 30 minit bakal menemui penonton pada setiap hari sepanjang Ramadan ini pada pukul 6.30 petang dan siaran ulangan pada 5.30 pagi di TV1.
Bagi versi bahasa Inggeris pula disiarkan pukul 4 petang dan ulangan pada pukul 4.30 pagi di saluran TV2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan