Khamis, 2 Jun 2011

Ulama: Jangan terlalu rai rakan Pakatan


Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mengingatkan kepimpinan PAS supaya tidak terlalu mengikut "rentak" pihak tertentu, termasuk dalam Pakatan Rakyat dalam usaha memelihara parti Islam itu.

Katanya, beliau bimbang PAS akan kehilangan identiti dan jatidiri Islam yang menjadi dasar parti itu.

"Kepimpinan PAS tidak boleh membiarkan PAS kehilangan identiti dan jati diri Islam semata-mata kerana terlalu meraikan kehendak pihak-pihak lain termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
"PAS dinamik dalam menangani perubahan tanpa mengorbankan al-thawabit (pendirian).

"Tidak ada kompromi dalam soal hukum halal dan haram yang telah dinyatakan secara sarih (jelas) dan nyata dalam Al-Quran dan al-Sunnah," kata Harun.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, sebagai sebuah gerakan Islam, beliau menyeru agar PAS meraikan perubahan dalam arena politik negara ini.

Teks ucapan Harun bertajuk "Ulama Haraki Teraju Kemenangan" dibacakan timbalannya Datuk Ahmad Yaakob di muktamar dewan itu di Gombak pagi tadi.

'Orang kanan mesti Ulama Haraki'

Dalam ucapannya, Harun turut mengingatkan PAS agar "Tadarruj perlu berpaksikan kepada tempoh tertentu yang berakhir dengan pelaksanaan sepenuhnya hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Harun turut mempertegaskan bahawa bahawa gerakan Islam seperti PAS akan sentiasa didokong oleh 'Ulama Haraki'.

Harun mentakrifkannya sebagai "golongan yang memiliki ilmu agama, melaksanakan amanah perjuangan, sabar dan tidak sekali-kali berhenti daripada melaksanakan jihad dalam harakah Islam.

"Parti Islam Semalaysia (PAS) yang berdiri di atas paksi kepimpinan ulama, perlulah memiliki tenaga alim ulama yang setia dan bergerak cergas sama ada di peringkat atasan seperti Syura, ahli jawatankuasa harian, ahli jawatankuasa kerja, mahupun para pengurusan ulama di peringkat negeri atau kawasan," katanya.

Sehubungan itu, dari sudut organisasi, Harun berkata pucuk tertinggi parti perlulah disokong oleh para pembantu atau 'orang kanan' yang turut memiliki kualiti sebagai 'ulama haraki'.

"Golongan inilah yang akan menjaga dasar-dasar Islam sepanjang parti melaksanakan amanah kepemimpinan, meneraju umat ke arah kemenangan yang diimpikan, di dunia dan di akhirat, -Insya-Allah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...