Ahad, 12 Jun 2011

Terengganu Julang Piala FA 2011 untuk Tuanku Mizan - Tahniah




KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Terengganu menamatkan kemarau selama 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini Sabtu malam.

Ahmad Nordin Alias menjadi wira Terengganu apabila menjaringkan gol penentuan pada masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tempoh 90 minit berakhir.

Kali terakhir Terengganu menjulang trofi itu ialah pada 2000 setelah menewaskan Pulau Pinang melalui sepakan penalti 5-3 apabila kedudukan terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan.

Pasukan 'peteh ganu peteh' turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penjulang terakhir trofi yang diperkenalkan pada 2005 itu, yang sempat digunakan untuk tujuh edisi. Trofi baru akan diperkenalkan untuk edisi musim depan.

Sebelum ini, Perak selaku juara final pertama dan terakhir diberi penghormatan menyimpan trofi pertama Piala FA yang digunakan bagi 15 edisi dari 1990 hingga 2004.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penyokong kedua-dua pasukan, Terengganu dan Kelantan bermula garang apabila masing-masing saling berbalas serangan bagi mencari pembuka tirai namun buntu.

Skuad anak didik Irfan Bakti Abu Salim dihidangkan peluang terbaik pada minit ke-20 menerusi penyerang sensasi Abdul Hadi Yahaya yang membuat sepakan percubaan dari dalam kotak penalti, namun ketangkasan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan keadaan.

Kelantan mendapat peluang terbaiknya pada minit ke-40 tetapi sepakan kencang penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditepis keluar penjaga gawang Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Lima minit babak kedua bermula, keadaan menjadi sedikit tegang dan pengadil terpaksa menghentikan perlawanan selama lima minit apabila ada penyokong membaling mercun ke arah penjaga gol Terengganu.

Pada minit ke-68, anak didik Datuk M. Karathu gagal menyudahkan peluang terbaik apabila penjaga gol skuad Penyu 'lemas' dan gagal menangkap kemas percubaan Mohd Ramzul.

Skuad 'Red Warriors' memecahkan kebuntuan gol pada minit-79 menerusi Mohd Nurul Azwan Roya.

Tertekan dengan jaringan itu, Terengganu mengatur serangan demi serangan memaksa Kelantan bertahan, dan hasilnya skuad Penyu memperolehi gol penyamaan pada masa kecederaan hasil kesilapan pemain pertahanan 'Red Warriors' yang tertanduk bola ke gawang sendiri.

Kedudukan itu mengheret perlawanan ke masa tambahan, sebelum Terengganu menamatkan impian Kelantan untuk bergelar juara FA buat kali pertama menerusi jaringan Ahmad Nordin.

Penyampaian trofi disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat ke perlawanan itu.

Ketua pasukan Terengganu Mohd Mazuki Yusof pula dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Turut berangkat ke perlawanan itu ialah Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...