Sabtu, 26 Mac 2011

Hentikan segera tabiat buruk buang sampah di sungai


Tabiat buruk segelintir masyarakat tempatan yang gemar membuang sampah di dalam sungai perlu dihentikan segera bagi memastikan sungai-sungai di negeri ini tidak terus tercemar, sekaligus menyebabkan kemusnahan ekologi dan hidupan sungai.

Jika tabiat itu terus menjadi amalan, generasi akan datang pasti mengutuk masyarakat kita kerana kealpaan kita memulihara anugerah Ilahi ini.

Bukan itu saja, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan peruntukan besar setiap tahun bagi membersihkan sungai-sungai di seluruh negeri yang dipenuhi dengan sampah-sarap yang dibuang mereka tidak bertanggungjawab.

Buktinya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memasang 30 perangkap sampah di sungai-sungai tertentu membabitkan kos RM1 juta pada tahun lalu.
Mengikut laporan baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam

Sekitar Negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata semua perangkap itu dipasang di laluan utama air sepanjang Sungai Terengganu bagi memerangkap pelbagai jenis sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Langkah itu bukan sahaja bertujuan mengindahkan sungai, tetapi turut berfungsi bagi mengelakkan kejadian banjir, terutama di kawasan rendah.

Tga jenis perangkap sampah yang dipasang itu dikenali sebagai `Grass Polutant Trap’ (GPT), `Modular Floating Rubish Trap’ (MFRT) dan `Anti Back Flow Rubish Trap’ (ART).

Antara lokasi yang dipasang perangkap itu ialah Alor Lorong Jamil, Alur Chabang Tiga, Alur Hiliran, Alur Manir, Alur Buloh, Alur Sekati, Parit Tok Adis, Alur Tok Molor, Alur Guruh Telok Pasu, Parit Sungai Pinang, Sungai Paloh, Alur Manir dan Alur Buluh Duri Bukit Tunggal.

Perangkap sampah itu turut dipasang di sepanjang Sungai Kuala Ibai dan beberapa longkang utama di kawasan Chendering, Kuala Terengganu.

Alangkah baiknya jika masyarakat kita tidak membuang sampah di dalam sungai dan peruntukan bagi tujuan itu dialihkan bagi tujuan lain yang memberi faedah penduduk negeri ini.

Rakyat perlu memikirkan saranan ini kerana agama sendiri melarang kita mengotori sungai yang dijadikan Tuhan bagi pelbagai tujuan seperti pengairan untuk pertanian dan hidupannya di dalamnya boleh diambil usebagai sumber rezeki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...