Rabu, 3 Ogos 2011

‘Mungkin ini Ramadan terakhir’



KUALA TERENGGANU - Umat Islam disarankan meningkatkan amal ibadat dan berusaha menjadikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan yang terbaik.

Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, kedatangan Ramadan al-Mubarak seharusnya digunakan sebaiknya-baiknya dan jangan ‘mengotorinya’ dengan keingkaran kita dengan melanggari perintah Allah.
“Kita jangan mempermain-mainkan perintah Allah kerana sebagai hamba-Nya, menjadi kewajipan kita untuk melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Jika ingkar, sudah tentu kita berdosa.

“Allah juga menjanjikan azab dan seksa bagi mereka yang ingkar perintah Allah, termasuklah bagi mereka yang tidak menunaikan tanggungjawab berpuasa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gejala ponteng puasa setiap kali Ramadan.

Menurutnya, walaupun pihak berwajib membuat pemantauan sepanjang Ramadan, setiap umat Islam perlu sentiasa beringat dan tidak ingkar larangan-Nya, apatah lagi membuat dosa secara terang-terangan seperti merokok, berpakaian menjolok mata dan makan secara terbuka.

“Mudah saja perkiraannya, kerana siapa tahu mungkin ini Ramadan terakhir untuk kita. Jadi sebaik-baiknya kita jaga dan kawal hawa nafsu kita, barulah datangnya kecintaan kepada Allah dan mudah bagi kita mendapat pertolongan Allah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...