Isnin, 8 Ogos 2011

Gunakan Kesempatan Ramadan Untuk Perkukuh Perpaduan


PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa masyarakat Islam agar memperkukuh semangat perpaduan sempena kedatangan Ramadan sambil mengelakkan sesuatu yang boleh merenggangkan hubungan mereka dengan masyarakat bukan Islam.Muhyiddin berkata bulan Ramadan merupakan kesempatan terbaik untuk melaksanakan amalan tersebut.
"Kita bertuah kerana masyarakat Islam di negara ini dapat hidup dalam keadaan yang baik.
"Walaupun di peringkat akhir-akhir ini, kita merasai keadaan dalam negara kadang-kadang agak membimbangkan, yang mana hubungan antara umat Islam dan kaum lain mula renggang," kata beliau.

Muhyiddin berkata perkara seperti itu perlu dielakkan kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah lain, katanya pada majlis berbuka puasa bersama Anak-Anak Rumah Amal Kasih Bestari (RAKB) di sini.

Rakyat, katanya, jangan terbawa-bawa dengan masalah politik sehingga menjejaskan hubungan baik antara kaum.

Selain itu, katanya, rakyat di negara ini bertuah kerana terdapat banyak para dermawan di kalangan individu dan korporat yang bermurah hati, tiap-tiap tahun melimpah rezeki yang membolehkan mereka menyumbang kepada anak-anak yatim dan miskin.

"Ini satu petanda bahawa nikmat kemajuan dan apa yang telah kita capai di negara kita ini dapat dikongsi dengan masyarakat lain yang memerlukan," katanya.

Menyentuh soal ekonomi, beliau berkata ekonomi negara masih berkembang dengan baik walaupun keadaan ekonomi terkini di Amerika Syarikat dan Eropah memberi kesan negatif kepada negara-negara lain.

"Walaupun negara ini tidak terkecuali merasai kesannya namun kita harap dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan sekarang dapat mengatasi kesan tersebut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...