Khamis, 11 Ogos 2011

Bonus Raya Untuk 20,000 Kakitangan Kerajaan Negeri



Kerajaan negeri Terengganu semalam mengumumkan pemberian bonus kepada kira-kira 20,000 kakitangannya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan berita baik itu berkata, bonus RM500 tersebut diberikan kepada semua kakitangan awam termasuk daripada badan berkanun negeri dan pesara.
Langkah itu katanya, diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan kerajaan Persekutuan, kelmarin.

“Bonus ini akan dibuat menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti,” kata Ahmad Said ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, petang semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negeri.

“Pemberian bonus itu juga diharapkan dapat meringankan beban semua kakitangan dalam membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...