Isnin, 27 Jun 2011

Ternakan Ikan Sangkar Berpotensi Jana Pendapatan Lumayan - LPP Terengganu

View Image

KUALA TERENGGANU, 26 Jun (Bernama) -- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu meminta anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini menceburi bidang ternakan ikan air tawar dalam sangkar yang berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Pengarah LPP negeri Shamsuddin Mat Rani berkata nasihat dan bimbingan disediakan kepada anggota yang berminat untuk mengusahakan ternakan ikan air tawar dalam sangkar.
Beliau berkata pemasaran ikan air tawar tidak menjadi masalah berikutan LPP negeri akan membantu memasarkannya ke luar negeri ini.

"Kita menggalakkan usahawan PPK untuk menceburi bidang ini kerana kita dapati potensi penternakan ikan dalam sangkar ini amat cerah," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Ahad.

Shamsuddin berkata daripada segi benih ikan, ia bukan satu masalah kerana terdapat banyak pembekal di negeri ini yang diperakui Jabatan Perikanan.

Katanya terdapat banyak kawasan di sepanjang sungai di negeri ini yang sesuai untuk ternakan ikan dalam sangkar khususnya ikan tilapia dan peluang itu patut dimanfaatkan oleh 15 PPK yang terdapat di Terengganu.

Mengenai perkembangan projek ternakan ikan sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir oleh PPK Kuala Berang, Shamsuddin berkata LPP telah membelanjakan sebanyak RM400,000 untuk projek perintis itu.

Katanya sebanyak 120,000 ekor benih ikan tilapia dan baung telah dilepaskan ke dalam sangkar pada awal tahun ini dan ikan berkenaan dijangka dapat dipasarkan pada Oktober ini.

Shamsuddin berkata LPP menjangka projek tersebut akan dapat menghasilkan sebanyak 56,000 metrik tan ikan bernilai kira-kira RM300,000.

Beliau berkata permintaan terhadap ikan tilapia dan baung amat tinggi dengan harga RM7 sekilogram di peringkat ladang dan RM9 hingga RM10 sekilogram di pasaran.

Katanya sebanyak 120,000 lagi benih ikan akan dimasukkan mulai bulan ini secara berperingkat bagi pusingan kedua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...