Rabu, 8 Jun 2011

Nelayan Laut Dalam Banyak Nikmati Faedah

View Image

BERNAMA : 7 Jun - Nelayan laut dalam yang memegang lesen C2 merupakan golongan nelayan yang menikmati banyak faedah walaupun mereka tidak boleh membeli diesel pada harga RM1.25 seliter mulai 1 Jun lepas, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata golongan nelayan itu masih menikmati diesel bersubsidi yang dijual di stesen minyak pada harga RM1.80 seliter selain diberikan insentif tambahan.

"Kalau bawa ikan banyak mereka dapat insentif 20 sen sekg, kalau dia boleh bawa balik 40 tan dekat RM8,000 (nilai insentif)," katanya, sambil menambah golongan nelayan itu seharusnya berterima kasih kerana menikmati pelbagai faedah.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kor Tani Peladang Peringkat Negeri di Pantai Remis Jeram, di sini Selasa, Noh berkata kerajaan juga menyediakan tempat pendaratan khas untuk mereka yang memerlukan kos pembinaan yang tinggi iaitu antara RM20 juta hingga RM100 juta.

"Kita hendak memastikan hasil tangkapan dari perairan negara dibawa pulang oleh mereka untuk dinikmati rakyat Malaysia, bukannya hanya ikan yang kurang baik dibawa pulang manakala yang berkualiti tinggi dijual kepada peraih asing di tengah laut," katanya.

Pemegang lesen C2 adalah nelayan yang dibenarkan menangkap ikan di kawasan 30 batu nautika dari pantai.

Noh berkata jika dibandingkan dengan nelayan laut dalam yang menerima subsidi diesel antara 20,000 ke 25,000 liter sebulan, nelayan pantai hanya menerima diesel antara 3,000 liter sebulan pada harga RM1.25 seliter dan insentif tangkapan mereka hanyalah 10 sen bagi sekg.

Beliau juga berkata ada di kalangan mereka dipercayai menjual diesel subsidi kepada pihak asing.

"Saya tengok laporan kadar tangkapan ikan laut dalam tak seimbang ada kapal boleh bawa balik 40 tan, ada lapan tan, ada tujuh tan, mengapa jauh berbeza?

Berdasarkan laporan sebuah stesen televisyen tempatan di Kuantan baru-baru ini, terdapat bot-bot laut dalam yang mengupah awak-awak Vietnam dilengkapi tangki-tangki khas dipercayai digunakan untuk membawa lebih banyak diesel ke laut, katanya.

Ditanya sama ada kementerian akan mengambil tindakan terhadap golongan nelayan laut dalam yang tidak berpuas hati dengan penyusunan semula subsidi, Noh berkata :"Kita tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan oleh nelayan laut dalam."

Setakat ini terdapat 1,019 pemegang lesen nelayan laut dalam, katanya.

Mengenai Kor Tani, Noh berkata pertubuhan itu yang dilancarkan April lepas dijangka dapat meningkatkan jumlah keahliannya di seluruh negara kepada 10,000 pada tahun ini dan menyasarkan 20,000 ahli pada tahun kedua.

Beliau berkata Kor Tani ditubuhkan sebagai jambatan kepada golongan muda di peringkat akar umbi bagi menyampaikan maklumat, visi dan misi kementerian untuk meningkatkan penglibatan golongan ini dalam sektor pertanian.

Ia juga bertujuan menyuntik semangat kesukarelawan di kalangan anggotanya bagi membantu mangsa bencana seperti banjir yang melanda kawasan petani dan penternak serta ancaman ribut yang berlaku di kawasan penempatan nelayan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...